Thursday 19 October 2017

HUKUM MAIN CHESS

Oleh;
Wan Ji bin Wan Hussin
(Ahli Jawatankuasa BiPPA Parti keadilan Rakyat)

Ulama-ulama dalam kalangan muslim menyatakan hukum main chess adalah seperti berikut;

Pertama;
Dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Al-Qaradawi menyatakan harus bermain Chess dengan syarat tidak melengahkan solat, tidak terjebak kepada judi dan tidak melahirkan permusuhan. (al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam, hlmn 288)

Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, Al-Imam al-Ghazali berpendapat bahawa main chess adalah dibenarkan, tetapi lebih digalakkan tidak main atas alasan makruh. (al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, jld 2, hlmn 283)

Kedua:
Ibn Taimiyyah (al-Fatawa al-Kubra, jld 2, hlmn 11), al-Nawawi (Raudah al-Talibin, jld 8, hlmn 204) dan al-Qurtubi (tafsir al-Qurtubi, jld 6, hlmn 291)  menyatakan hukumnya adalah haram.

HUJAH

Pendapat kedua menyatakan haram, kerana mereka merujuk kepada amalan itu boleh membawa kepada judi yang diharamkan. Pendapat pertama menjawab bahawa larangan haram yang dimaksudkan itu jika boleh membawa kepada judi. Justeru, apabila tidak membawa kepada judi, maka ia tidak haram. Makanya, kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Pendapat kedua juga berhujah bahawa larangan haram itu kerana amalan tersebut boleh membawa kepada permusuhan. Pendapat pertama menjawab, justeru tidak haram jika tidak membawa kepada permusuhan. Terutama, permainan itu boleh membawa kepada ketajaman akal.

Juga pendapat kedua berhujah bahawa terdapat hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan bahawa setiap perkara yang melalaikan seseorang lelaki muslim, maka ia batil, kecuali memanah, mendidik kuda dan bergurau senda dengan ahli keluarga. (Tarmizi, بَابُ مَا جَاءَ فِي فَضْلِ الرَّمْيِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ, hadis no : 1637)
كُلُّ مَا يَلْهُو بِهِ الرَّجُلُ الْمُسْلِمُ بَاطِلٌ، إِلاَّ رَمْيَهُ بِقَوْسِهِ، وَتَأْدِيبَهُ فَرَسَهُ، وَمُلاَعَبَتَهُ أَهْلَهُ، فَإِنَّهُنَّ مِنَ الحَقِّ

Dengan hadis ini, pendapat kedua menyatakan haram. Dijawab oleh pendapat kedua bahawa, kalimah “batil” dalam hadis, para ulama hadis tidak memaksudkan sebagai haram, tetapi memaksudkan sebagai amalan yang tidak ada manfaat dan faedah. (al-Syaukani, Nail al-Awtar, jld 8, hlmn 118)
«كُلُّ لَهْوٍ يَلْهُو بِهِ الْمُؤْمِنُ فَهُوَ بَاطِلٌ إلَّا ثَلَاثَةٌ: مُلَاعَبَةُ الرَّجُلِ أَهْلَهُ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَرَمْيُهُ عَنْ قَوْسِهِ» قَالَ الْغَزَالِيُّ: قُلْنَا قَوْلَهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - " فَهُوَ بَاطِلٌ " لَا يَدُلُّ عَلَى التَّحْرِيمِ، بَلْ يَدُلُّ عَلَى عَدَمِ فَائِدَةٍ انْتَهَى

KESIMPULAN

Dari perbahasan ringkas ini, disimpulkan adalah seperti berikut;

Pandangan yang mengatakan haram main chess yang dibahas oleh ulama dan hujah mereka bersandarkan kepada kaedah Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu haram. Justeru, selama tidak ada elemen yang haram, seperti permusuhan, judi dan lalai dari melaksanakan kewajipan agama, maka hukumnya adalah harus. Justeru, saya secara peribadi cenderung menyokong pandangan al-Imam al-Ghazali dan al-Qaradawi.

Wallahu ‘Alam.

#IslamPenang


AURAT WANITA MUSLIMAT HADAPAN WANITA TIDAK MUSLIM

Oleh : 
Wan Ji bin Wan Hussin

Dalam kalangan ulama fiqh, terdapat khilaf dan perbedaan pendapat berkenaan aurat wanita muslim hadapan wanita tidak muslim. Kekhilafan itu adalah seperti berikut;

Pertama :
Pandangan al-Imam al-Mardawi menerusi kitab al-Insaf. Pendapat ini menyatakan bahawa perempuan bukan Islam tidak salah melihat aurat perempuan muslimah, dan anggap aurat perempuan muslim dengan perempuan bukan islam sama sepertimana urat perempuan muslim sesame mereka. (al-Mardawi (885H), al-Insaf Fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, jld 20, hlmn 48)
وأمَّا الكافِرَةُ مع المُسْلِمَةِ، فالصَّحيحُ مِنَ المذهبِ أنَّ حُكْمَها حُكْمُ المُسْلِمَةِ مع المُسْلِمَةِ

Kedua :
Pandangan al-Imam al-Dasuki menerusi kitab Hasyiah al-Dasuki ‘Ala Syarh al-Kabir. Pendapat ini menyatakan bahawa aurat perempuan muslim di hadapan perempuan bukan Islam adalah semua kecuali muka dan tapak tangan sahaja. (al-Dasuki (1230H), Hasyiah al-Dasuki ‘Ala Syarh al-Kabir, jld 1, hlmn 213)
وَأَمَّا الْحُرَّةُ الْكَافِرَةُ فَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ الْمُسْلِمَةُ مَعَهَا عَلَى الْمُعْتَمَدِ مَا عَدَا الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ

DALIL

Pendapat kedua menyatakan haram kerena merujuk kepada kalimah “perempuan mereka” dalam ayat ke 31, surah al-Nur, yang menyatakan perhiasan wanita itu tidak boleh dipamerkan auratnya kecuali kepada beberapa orang. Antara yang disebut dalam ayat ini adalah “perempuan-perempuan mereka”.
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ

Maksud dengan “perempuan-perempuan mereka” dalam ayat ini, mereka menyatakan adalah perempuan yang islam. Justeru, mereka menyatakan perempuan bukan islam tidak termasuk kebenaran perempuan Islam membuka aurat di hadapan mereka.

Mereka juga merujuk kepada satu surat Saidina Umar kepada Abi Ubaidah yang kandungan surat itu menyatakan bahawa telah sampai berita kepada Saidina Umar bahawa perempuan muslim masuk ke tandas bersama perempuan bukan islam. Lalu, Saidina menyatakan tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat bahawa melihat auratnya kecuali orang satu agama dengannya. (al-Baihaki, al-Sunan al-Kubra, hadis no : 13543)
أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّ نِسَاءً مِنْ نِسَاءِ الْمُسْلِمِينَ يَدْخُلْنَ الْحَمَّامَاتِ مَعَ نِسَاءِ أَهْلِ الشِّرْكِ، فَإِنَّهُ مِنْ قِبَلِكَ عَنْ ذَلِكَ، فَإِنَّهُ لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى عَوْرَتِهَا إِلَّا أَهْلُ مِلَّتِهَا

Pendapat pertama pula berhujah bahawa Asas bagi aurat adalah keaiban dan syahwat. Justeru, aurat hendaklah dilihat berasaskan kepada jantina, bukan berdasarkan anutan agama.

Justeru, pendapat yang mengatakan haram itu, dinilai sebagai larangan secara sad al-Zaraie’, iaitu mahu menutup pintu haram sahaja. Iaitu, seperti menjual anggur itu adalah harus. Tetapi, jika menjual anggur kepada pembuat arak, makanya haram. Bermaksud, ia haram bersebabkan boleh membawa kepada menjadi arak. Justeru, menjual anggur yang tidak membawa kepada arak, maka ia adalah harus.

Maka begitujuga aurat perempuan Islam hadapan perempuan bukan islam. Hukum asalnya adalah sama seperti aurat sesama perempuan muslim. Namun, jika boleh membawa kepada fitnah, makanya haram.

Adapun hadis mauquf, iaitu berkenaan surat Saidina Umar kepada Abi Ubaidah pula, hadis itu dianggap lemah. Ini kerana, dalam sanad hadis ini terdapat seorang perawi bernama Nusai al-Kindi yang menurut Ibn Hajar al-Asqalani bahawa dia majhul (tidak dikenali). Begitujuga ada perawi bernama Ismail bin ‘Ayyash yang ramai ulama menilai beliau sebagai lemah seperti al-nasaie dan al-daruqutni, atau  seperti Abu Zur’ah al-Razi, al-Jurjani dan al-Fazzari pernah menyatakan bahawa beliau banyak tercampur hadis antara hijaz dan iraq, ibn al-Jawzi menyatakan bahawa dia banyak hilang hafalannya sesama tua, al-Baihaqi menyatakan dia tidak kuat dan banyak lagi komentar negatif dalam kalangan ulama terhadap ismail bin ‘Ayyash.

KESIMPULAN

Dari perbahasan ni, dapat disimpulkan seperti berikut;

a. Pendapat yang mengatakan aurat perempuan muslim dengan perempuan bukan islam sama seperti aurat perempuan muslim sesama mereka adalah pendapat yang kuat dari sudut penghujahan, malahan lebih sesuai diamalkan dalam budaya masyarakat yang aman damai, dan berusaha menolak prejudis non muslim terhadap agama islam.

b. Dilihat pandangan kedua dalam kerangka sad al-Zaraie. Bermakna, hukum asalnya adalah harus. Namun, larangan itu berfaktorkan wujud fitnah. Justeru, apabila hilang fitnah, maka kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Wallahu ‘Alam.

#IslamPenang